(Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias & Ukhti Khadijah Ismail)
Almarhumah anakanda Nur Fatimah bersama ibu dan bapanya, Ukhti Khadijah Ismail dan Ustaz Mohd. Ramadhan Fitri Elias [kredit sumber]
Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji'oon…
Saya kehilangan perkataan. Terlalu sedih tatkala menyambut berita pagi ini.
Anakanda Nur Fatimah, cahaya mata pertama buat sahabat seperjuangan saya Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias dan Ukhti Khadijah Ismail, telah bertemu dengan janji Allah kepadanya. Setelah dua minggu bertarung nyawa di ICU Hospital Putra Jaya, anakanda Nur Fatimah telah kembali ke Rahmatullah pada jam 6:20 pagi, di subuh hening Dhulqaedah ketiga 1430H.
TAWA AKHIRNYA DI MATA KAMI
Baru sahaja saya dan isteri bertemu dengan anakanda Nur Fatimah semasa kami berkunjung ke rumah sahabat di petang Syawwal.
Masih teringat senyum tawa si anak kecil malam itu.
Terkenang kembali saat-saat kelam kabut saya dan Ustaz Ramadhan semasa menguruskan kelahiran anakanda masing-masing. Ahmad Muizzuddin lahir 11 hari selepas anakanda Nur Fatimah menjengah hidup di pelukan ibu bapanya.
"Teringat balik kata-kata ustaz tentang kisah bangun malam, mata merah dan cabaran mengantuk di tempat kerja," gurau Ustaz Ramadhan yang ketika itu baru sahaja menyertai `Kelab Mata Merah', gelaran yang sering saya berikan kepada kaum bapa yang menyambut kelahiran anak kecil.
Tiba-tiba kami dikejutkan dengan berita yang amat mengganggu fikiran.
Anakanda Nur Fatimah mengalami sawan, dimasukkan ke wad pediatrik biasa di Hospital Putra Jaya.Keadaan menjadi semakin kritikal hingga anakanda dipindahkan ke wad ICU. Di situ, anakanda Nur Fatimah terlantar, intubated dan ventilated. Pada usia yang begitu muda dan tubuh yang masih kecil, beliau bertarung nyawa dengan dua inotropic supports.
ZIARAH DI ICU
Jumaat lalu, saya dan isteri berjaya mencuri masa berkejar ke Hospital Putra Jaya untuk menziarahi mereka.
Saya berasa lega dengan keadaan Ustaz Ramadhan dan isteri yang tenang dan mereka mampu berbicara dengan lapang fikiran tentang segala perkembangan dan kebarangkalian yang menanti di hadapan. Saya yang ketika itu bertarung emosi. Tidak mudah untuk sesiapa sahaja melihat melihat anak kecil dipenuhi tiub dan wayar di seluruh tubuh.
Saya biarkan sahaja Ummu Saif berbicara untuk berbincang tentang keadaan anakanda Nur Fatimah. Sebaliknya saya banyak mendiamkan diri kerana mahu menahan air mata dari mengganggu pertarungan dalaman Ustaz Ramadhan dan isteri. Sedih sekali.
Di hari itu, anakanda Nur Fatimah sudah tidak menerima sedation. Beliau terus menerus berada di dalam deep coma dan tidak memberikan sebarang tindak balas kepada apa-apa stimulasi. Dalam erti kata yang lain, pada Jumaat 16 Oktober lalu, anakanda Nur Fatimah sudah berada di dalam keadaan koma dan hanya bertahan dengan bantuan ubat untuk jantung sahaja tanpa sebarang aktiviti otak lagi.
"Doakan untuknya ya ustaz!" kata Ustaz Ramadhan Fitri kepada saya di saat perpisahan kami.
"Ana juga doakan untuk ibu dan bapa Nur Fatimah, ya akhi. Semoga antum berdua tabah!" saya menjawab.
Kami berpelukan dan berpisah.
PUNCA YANG SUKAR DITENTU
Sukar untuk ditentukan apakah punca kepada keadaan anakanda Nur Fatimah ketika itu.
Beberapa ujian sudah dilakukan dan kebarangkalian berkaitan jangkitan seperti meningitis atau isu metabolik yang berkaitan dengan genetik juga sudah diketepikan. Tanpa sebarang tanda trauma yang ketara di luaran tubuh anakanda, apa yang tinggal adalah kebarangkalian insiden Shaken Baby Syndrome, yakni gegaran otak yang berlaku atas sebab yang pelbagai.
Oleh kerana anakanda Nur Fatimah menunjukkan kemerosotan yang berperingkat sebelum beliau koma, maka sukar sekali untuk ditentukan apakah insiden dan di manakah berlakunya kejadian yang mencetuskan gegaran itu. Tahap toleransi anak-anak yang berbeza terhadap gegaran ini, menjadi iktibar buat saya dan kita semua agar tidak lupa kepada hakikat bahawa seorang bayi amat fragile.
Gegaran boleh berlaku dengan timangan kasih sayang yang sederhana, henjutan buaian malah ada kes yang membabitkan anak yang dihimpit seketika oleh ibu atau selalunya bapa semasa tidur bersama.
Oh… sukar sekali.
Saya memeluk anak-anak.
Setiap hari mereka membesar, ia adalah suatu kejayaan melepasi ujian-ujian kehidupan.
Wajah anakanda kami Ahmad Muizzuddin saya tatap, dengan doa dan harapan agar beliau terus membesar dengan selamat.
Terasa benar satu kekosongan di hati tatkala mengenangkan pemergian anakanda Nur Fatimah, si kakak yang hanya berpeluang seketika melimpahkan sejuk mata dan damai jiwa ke hati ayah dan bondanya.
SECEBIS KISAH DI DIARI NUBUWWAH
Terkenang saya kepada selubung duka yang melanda Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam ketika masih letih pulang dari misi Tabuk, menyambut berita geringnya anak lelaki baginda, Ibrahim. Di dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawood dan Sunan Ibn Majah, tercatat kisah berikut:
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam masuk ke kamar dan kami menemaninya… dan Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mata Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam basah dengan limpahan air mata.
Lalu Abd al-Rahman bin Auf berkata, "apakah engkau meratap ya Rasulallah?"
Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam menjawab, "ia adalah sifat rahmah (naluri kasih sayang)."
Baginda Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam menyambung lagi, "sesungguhnya mata kami basah dengan air mata, dan hati kami tepu dengan duka, namun lisan kami tidak mengungkapkan sebarang kata melainkan apa yang diredhai oleh-Nya. Oh Ibrahim, sesungguhnya kami amat sedih dengan pemergianmu…"
Buat Ustaz Mohd Ramadhan Fitri dan Ukhti Khadijah, kuatkanlah hati kalian, dampingilah Dia untuk mengisi kesepian yang ditinggalkan anakanda. Nur Fatimah disinggahsanakan Allah di Sana, menjadi syafaat buat kalian ibu bapanya, hingga ke hari pertemuan dan perjanjian kita sepertinya, suatu ketika nanti.
Saya mewakili ahli keluarga dan seluruh warga Saifulislam. Com mengucapkan takziah buat kalian berdua. Salam kasih sayang dan sokongan semangat daripada kami.
ABU SAIF @ www.saifulislam. com68000 AMPANG Read More…
0 comments:
Post a Comment