IBU

Sekiranya wanita itu baik maka baiklah sesebuah keluarga dan jika keluarga itu baik, maka baiklah masyarakat. Jika sesuatu masyarakat itu baik maka sesebuah negara akan jadi baik.

Setelah keluar dari alam zuriat, wanita bergelar ibu merupakan sumber alam pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia.

Menurut Ibn Battuta, seorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialami sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukan anak.

Ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya.

Rasulullah s.a.w. menyebut perkataan ibu sebanyak tiga kali, sedangkan bapa hanya sekali sahaja iaitu pada kali yang ke empat.

Andai berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan.

Besarnya pengorbanan seorang ibu bernama Siti Hajar yang penuh sabar berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah untuk mencari air bagi menghilangkan dahaga anaknya Nabi Ismail telah diberi penghargaan Allah s.w.t.

Peristiwa itu telah disyariatkan sai dan diberi penghargaan sebagai salah satu daripada rukun Islam yang kelima.

Allah berfirman dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud, ``Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik terhadap kedua-dua orang ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah, dan menceraikannya daripada menyusu dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada Ku-lah kembalimu.''

Felow Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Ustaz Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ketika dihubungi berkata, berdasarkan ayat di atas betapa Allah s.w.t. telah memuliakan kedudukan ibu yang bersusah payah mengandung, melahir dan menyusu anak yang dikandung.

``Amat mengkagumkan apabila Allah s.w.t menyuruh manusia bersyukur kepadaNya dan orang tua terutama ibu dalam sebaris penyataan.

``Sesungguhnya mentaati ibu adalah fardhu ain selepas manusia mentaati Allah s.w.t,''katanya.

Sungguh membanggakan apabila Allah s.w.t. telah menceritakan kisah ibu dalam al-Quran dengan cara yang amat menyenangkan.

``Ibu dalam al-Quran cukup dimuliakan, contohnya dalam surah Al-Qasas ayat 13 Allah berfirman yang bermaksud, ``Maka Kami kembalikannya (Musa) kepangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka.''

``Ibu nabi Musa telah melahirkan anaknya dengan susah payah tetapi kekejaman Firaun memisahkan mereka.

``Namun alangkah besarnya rahmat Tuhan terhadap ibu kerana selepas menghadapi halangan dapatlah dia hidup lebih bahagia dengan menyusukan sendiri anaknya dan mengasuh sehingga besar dengan perbelanjaan dari istana.

``Sebab dengan menjadi pengasuh dan menyusukan anak raja (Musa) itu, ibu Musa sekeluarga telah dihormati oleh seluruh penduduk negara,''katanya.

Di dalam surah Al-Isra' ayat 23 pula Allah berfirman yang antara lain bermaksud, ``Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun berkata ah! dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun).

Menurut Dr. Uthman, jasa dan pengorbanan ibu tidak ada tolok bandingnya atau diukur dengan apa juga kemewahan di dunia ini.

``Dalam zaman serba moden ini, generasi hari ini wajar dihadapkan dengan beberapa contoh ibu-ibu mulia di zaman nabi agar mereka lebih mentaati ibu masing-masing.

``Satu kenyataan sangat hebat dan menunjukkan keunggulan ibu di dalam Islam, anak lelaki berpangkat jeneral sekali pun, jika keluar berjihad wajib minta izin ibunya terlebih dahulu.

``Di dalam riwayat At-Thabrani, datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, wahai Rasulullah: ``Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah.''

``Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya, ``Apakah ibumu masih hidup?'' Orang itu menjawab: ``Ya,''

Rasulullah s.a.w. bersabda. ``Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada.''

``Para ulamak menghuraikan, hendaklah berbuat baik, bergaul, menghormati, merendah diri dan tidak derhaka kepada ibu dan mencari keredaannya di dalam semua perkara,''kata Dr. Uthman.

Menjelaskan lebih lanjut, di dalam hadis riwayat At-Tarmizi, datang seorang lelaki kepada nabi dan berkata, ``Sesungguhnya saya melakukan satu dosa dan bolehkan saya bertaubat. Rasulullah s.a.w. bertanya, ``Kamu ada ibu?'' Jawab lelaki itu tidak ada. Rasulullah bertanya lagi, ``Apakah kamu mempunyai ibu saudara daripada sebelah ibumu?''. Lelaki itu menjawab ada. Rasulullah s.a.w. berkata, berbuat baiklah kepada ibu saudaramu semoga Allah akan mengampunkan kamu.''

``Berdasarkan hadis tersebut, menerangkan besarnya kedudukan ibu, jika mereka sudah tiada, maka gantinya adalah saudaranya sendiri,''katanya Read More…